Thursday, January 5, 2012

SEMANGAT ASSABIYAH

BINCANGKAN TENTANG SEMANGAT ASSABIYAH DAN PENGARUHNYA TERHADAP KEHIDUPAN MASYARAKAT ARAB JAHILIYAH


     Assabiyah berasal daripada perkataan al-'asab yang bermakna cengkaman yan kuat. Dari sudut bahasa, ia bermakna sesuatu yang terikat atau tercengkam dengan kuatnya. Dalam konteks bangsa Arab Jahiliyah pula, assabiyah bermakna sikap fanatik terhadap kabilah atau keturunan atau tradisi atau golongan politik tanpa memikirkan baik buruknya. Dalam konsep yang lebih meluas ia meupakan satu puak sama ada kecil atau besar yang merasakan dirinya sombong, megah serta merasakan puaknya sahaja yang lebih berkeupayaan dari puak yang lain.
    Jenis-jenis assabiyah:
Terdapat empat jenis iaitu:
i. Assabiyah kabilah, iaitu semangat assabiyah terhadap kabilah atau keturunannya. Ini merupakan semangat assabiyah yang paling lumrah wujud di Tanah Arab. Malah kewujudan sifat ini adalah suatu kemestian. Contoh assabiyah kabilah ialah sikap kaum Quraisy yang sayangkan keturunan mereka.

ii. Assabiyah asyirah (suku/keluarga) iaitu semangat assabiyah terhadap puak atau keluarga masing-masing. Misalnya di dalam kabilah Quraisy terdapat berbagai bani seperti Bani Hasyim, Bani Umayyah, Bani Makhzum dan sebagainya. Masing-masing anggota bani mempunyai semangat assabiyah asyirah terhadap bani masing-masing.

iii. Assabiyah ahzab iaitu semangat assabiyah yang wujud di antara sekutu-sekutu yang berbaik-baik melalui ikatan jiwar (ikatan baik tetangga) atau perjanjian politik. Misalnya kaum Quraisy Mekah menjalinkan ikatan jiwar dengan Bani Bakar. Oleh itu apabila Bani Bakar berperang dengan kaum lain, kaum Quraisy akan membantu atau membela mereka. Assabiyah jenis ini adalah bersifat sementara iaitu selahi ikatan tersebut wujud. Ia juga tidak semestinya berasaskan darah atau keturunan.

iv. Assabiyah taqalid(sunnah nenek moyang) iaitu semangat assabiyah terhadap tradisi atau adat nenek moyang masing-masing. Ini merupakan di antara punca kenapa terdapat sebahagian kaum Quraisy tidak dapat menerima Islam yang dianggap membawa suatu pembaharuan dalam corak kehidupan mereka.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUBURKAN ASSABIYAH
     Terdapat kesedaran di kalangan masyarakat Arab bahawa kehidupan secara bersendirian tidak dapat menjamin keselamatan atau keadilan di tengah-tengah mara bahaya kehidupan padang pasir. Oleh itu mereka perlu hidup dalam sesuatu kelompok masyarakat. Faktor yang boleh mengukuhkan ikatan sesama sendiri dalam kelompok tersebut ialah semangat asabiyah.
     Assabiyah menjadi asas undang-undang adat masyarakat jahiliyah. Ini kerana pada zaman sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jahiliyah hidup tanpa peraturan dan tiada undang-undang yang seragam yang mengawalo tindak-tanduk mereka. Oleh itu bagi setiap kelompok, semangat assabiyah menjadi asas undang-undang. ini membolehkan setiap warisan dan sunnah tradisi dipatuhi tanpa sebarang penentangan. Mereka berpegang kuat kepada sunnah tanpa memikirkan baik atau buruknya.

PENGARUH SEMANGAT ASSABIYAH  
  Semangat assabiyah sering mencetuskan permusuhan antara kabilah-kabilah kerana melalui konsep assabiyah ini, kaum mereka sentiasa benar walaupun berada di pihak yang menzalimi. Ini seterusnya membawa kepada amalan berterusan dendam mendendami dan menuntut bela.
   Ia juga menyebabkan tidak wujud keamanan di Tanah Arab kerana ia sering mencetuskan peperangan, permusuhan dan dendam mendendami antara kabilah-kabilah. Misalnya Perang Basus(selama 40 tahun) antara Bani Taghlib dengan Bani Bakar, Perang Bu'ath antara Suku Aus dan Khazraj serta peperangan sebanyak 12 kali antara kabilah Tamim dengan kabilah Rabi'ah.
 

No comments:

Post a Comment